Setelah agak lama tertangguh, hasrat penyanyi remaja Alyssa Dezek untuk ke Jakarta bagi menemui rakan-rakan dan peminat disana akhirnya menjadi kenyataan.
Meluahkan keterujaan kerana akhirnya berpeluang kesana, Alyssa ternyata gembira kerana perancangan tersebut sudah dibuat sejak single dan muzik video “Lagu Untuk Kamu” menjadi hit dikalangan peminat muzik di Indonesia.
Selama tiga hari di sana, Alyssa juga berkesempatan merakam kembali “Lagu Untuk Kamu” dengan susunan muzik berbeza dan menjalani penggambaran muzik video terbaharu lagu tersebut yang turut menampilkan penyanyi remaja dari Indonesia, Hyyori.
Ditanya mengenai pengalaman merakamkan lagu disana, Alyssa merasakan ia tidak banyak berbeza berbanding proses rakaman di Malaysia, walaupun mengakui pada mulanya beliau agak mengambil masa untuk memahami dialek percakapan mereka di sana.
“Secara keseluruhannya, memang semuanya best! Komposer muzik Om Posan menjadi “tour guide” sepanjang Alyssa disana dan beliau sebenarnya cuba untuk mempertemukan Alyssa dengan beberapa artis disana namun tidak berkesempatan kerana kesibukan jadual kerja mereka”.
“Versi baharu Lagu Untuk Kamu itu juga sebenarnya dirakam di studio milik penyanyi terkenal, Once. Namun sayangnya Once tiada di Jakarta ketika Alyssa ke sana,” ujar Alyssa teruja.
“Paling seronok, Alyssa dapat berkenalan dengan ramai kawan baharu. Selain Hyyori, Alyssa juga sempat bertemu Quinn Salman, yang popular di Tiktok dengan lagu Tiba-Tiba,” tambah Alyssa lagi.
Mengenai peminat disana, Alyssa turut sempat meluangkan masa bertemu mereka yang sekian lama menanti ketibaan Alyssa sejak 3 tahun dahulu.
“Alyssa terharu sangat dengan sokongan mereka. Ada yang datang dari luar Jakarta, sanggup menunggu Alyssa dari petang sehingga malam. Sebelum ini, komunikasi antara Alyssa dengan mereka cuma setakat di laman sosial Instagram dan Telegram, jadi Alyssa bersyukur akhirnya dapat bertentang mata dengan mereka yang menjadi penyokong karier Alyssa”, ujar Alyssa.
Mengenai perancangan untuk kembali ke sana, Alyssa mengakui belum ada perancangan tersebut namun sentiasa terbuka dan bersedia untuk apa-apa projek dan kolaborasi dengan rakan-rakan di sana.
“Apa-apapun, saya tunggu sahaja panggilan dari Om Posan!” kata Alyssa mengakhiri perbualan.
Ikuti Alyssa Dezek di laman sosial: