Ketika para pelajar kembali memulakan sesi persekolahan selepas berehat seminggu sempena cuti penggal persekolahan sebelum ini, penyanyi cilik, Alyssa Dezek memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan memenuhi jadual kerjaya seni.
“Saya baru habis exam, mula-mula fikir nak rehat ketika cuti sekolah, tapi jadual shooting padat pula. Saya tidak kisah, okay sahaja. Ada juga hari yang saya boleh lepak dan berehat. Best!” ujar Alyssa yang baharu sahaja menamatkan penggambaran sebuah drama bersiri di saluran digital terbitan Astro yang memakan masa lebih sebulan.
Pastinya tidak mudah membahagikan masa antara jadual persekolahan yang padat dan komitmen karier seni, namun Alyssa, yang menginjak usia 14 tahun April lalu, mengakui sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
“Saya tidak kisah walaupun terpaksa bekerja. Sebelum ini pun, ketika musim cuti sekolah, saya juga pernah keluar bercuti bersama keluarga. Jadi perkara ini sudah menjadi kebiasaan sejak saya mula aktif dalam kerjaya seni lebih kurang 7 tahun lalu.”
“Tambahan pula, rakan-rakan dan guru-guru di sekolah sentiasa membantu dan akan update jika saya tertinggal apa-apa”, tambah Alyssa yang semakin matang berkata-kata.
Sentiasa ditemani ibunya, Suzanne Sahri ketika membuat persembahan atau menjalani penggambaran, Alyssa sebelum ini pernah merancang untuk membuat lawatan ke Indonesia sambil bertemu peminat disana, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda.
Kini, setelah keadaan kembali reda dan hampir pulih seperti sediakala, Alyssa yang mencipta fenomena selepas “Lagu Untuk Kamu” nyanyiannya mencecah lebih 212 juta penonton di Youtube, merancang untuk merealisasikan rancangan yang tertangguh itu.
“Sebahagian dari penonton dan peminat “Lagu Untuk Kamu” adalah dari Indonesia. Malah lagu tersebut turut mempunyai peminat hingga ke Thailand dan India.”
“Sewaktu lagu itu meletup, ramai minta Alyssa ke Indonesia untuk bertemu peminat disana. Insha Allah, jika semuanya menjadi seperti dirancang, Alyssa akan kesana sekitar bulan Oktober nanti, cuma belum pasti tarikhnya.”
“Apa yang paling mengujakan, Alyssa ada membuat “give away” bersama jenama Vida C untuk peminat disana. Ada yang telah pun memenangi hadiah seperti Airpods dan iPhone. Jadi, kalau hasrat Alyssa untuk kesana menjadi kenyataan, Alyssa akan pergi sendiri ke rumah-rumah mereka bagi menyampaikan hadiah-hadiah tersebut”, tambah Alyssa.
Menjadi impian setiap penyanyi untuk memperdagangkan bakat mereka hingga ke luar negara, dan Alyssa juga tidak terkecuali. Sekiranya ada ruang dan undangan, Alyssa bersedia untuk mengembangkan karier kesana.
“Kalau ada yang sudi memberi ruang, apa salahnya. Saya yakin peminat disana juga ingin menyaksikan Alyssa menyanyi disana. Insya Allah jika ada kesempatan, saya ada cita-cita untuk mengembangkan karier di Indonesia”.
“Untuk lagu terbaharu saya, Faham Tak, saya sedang merangka jadual untuk penggambaran video muzik lagu tersebut. Sementara itu, saya harap semua peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, sehinggalah ke Thailand dan India boleh terus menyokong saya dan layarilah saluran Youtube Alyssa Dezek untuk menonton cover song terbaharu yang saya hasilkan”, kata Alyssa penuh ceria.
Ikuti Alyssa di laman sosial beliau:
Comentarios