‘Bagai pinang dibelah dua’ perumpamaan tersebut sesuai menggambarkan pasangan selebriti Asha Merican, 25 dan Harris Annuar, 29 yang sama cantik dan sepadan antara satu sama lain. Pasangan tersebut selamat diijabkabulkan pada 11 Jun 2022 selepas empat tahun menyulam cinta.
Bagi Asha, detik bahagia ketika hari pernikahan masih segar di dalam ingatannya, “Saya nervous sebenarnya sewaktu duduk atas pelamin sebab kita jadi tumpuan orang time tu. Tapi saya masih ingat walaupun tengah nervous, saya rasa gembira dan syukur waktu tu” ujar Asha menceritakan perasaannya sewaktu acara akad nikahnya berlangsung.
Asha yang kini sudah 6 bulan bergelar seorang isteri mengakui mempunyai teman hidup banyak memudahkan urusan hariannya. “Kalau nak cakap perbezaan tu tidak lah terlampau banyak tapi bila dah ada suami ni, banyak memudahkan urusan harian saya. Contoh macam kerja-kerja rumah, Harris banyak tolong saya. Kalau dulu saya kena basuh baju sendiri, sekarang dah ada orang tolong basuhkan baju saya. Haris pun tolong saya kemaskan rumah dan turut membantu saya memasak. Tak perlu la saya buat kerja rumah sorang sorang sekarang,” ujar Asha sambil tergelak kecil.
Sudah menjadi lumrah apabila memasuki alam perkahwinan, sudah tentu terdapat tanggungjawab yang perlu digalas. Asha akui kehidupan sebagai seorang isteri dan semasa bujang adalah berbeza, menjadi seorang isteri pastinya memerlukan tanggungjawab dan komitmen yang perlu dipikul. “Dulu time masih bujang, kita boleh keluar tanpa ada had waktu. Tapi bila dah ada keluarga sekarang, saya ada tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kalau nak keluar pun, saya akan pastikan saya hadkan masa supaya saya akan balik awal sebab saya kena pastikan makan minum suami saya terjaga dan buat kerja-kerja rumah,” kata Asha.
Namun, menjadi seorang isteri tidak menghalang Asha untuk terus berkarya sebagai seorang pelakon. Asha berpendapat ianya penting untuk mewujudkan sikap saling memahami dalam sesama pasangan. “Kami dah kenal lama dan Harris pun dah faham kerja saya macam mana dan saya pun dah faham kerja Harris macam mana. Jadinya, saya teruskan kerja macam biasa sahaja sebab Harris pun benarkan saya bekerja. So, it is important to find a man yang memahami and I am very grateful sebab Harris sangat memahami kerjaya saya” ujar Asha yang terkenal menerusi drama ‘Biarkan Ia Pergi’ di TV3.
Mencari pasangan hidup yang menepati ciri-ciri yang diidamkan pastinya tidak mudah. Namun, Asha bersyukur dipertemukan dengan Harris yang memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya. “Saya mencari lelaki yang boleh mendorong saya, dan selama saya berkenalan dengan Harris, memang dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan baik. Senang cerita, Harris memang menepati ciri-ciri lelaki yang saya cari untuk dijadikan sebagai seorang suami,” respon Asha apabila ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idealnya.
“Lagi satu yang bagus mengenai Harris ni adalah sebab dia pandai berkomunikasi. Contohnya, kalau kami ada salah faham, Harris akan pastikan kami selesai kan masalah tersebut dengan baik. Harris akan ajak saya untuk berbincang dan cari penyelesaian kepada masalah tersebut. Kiranya, kami tidak akan bagi ‘silent treatment’ to each other bila ada masalah yang timbul,” tambah Asha.
“Kalau dah jumpa pasangan yang baik and betul betul boleh jaga kita, teruskan sahaja. Sebab bukan apa, nak cari partner yang betul-betul baik bukan senang kan, kalau dapat partner yang baik ni pun satu rezeki kan. Betul tak? “ nasihat Asha kepada gadis-gadis yang akan melangkah ke jinjang pelamin sekaligus mengakhiri perbualan.
Ikuti Asha Merican di media sosialnya:
Comments