‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’ tepat menggambarkan perjalanan Amanda Amry dalam industri hiburan. Beliau mula menjejakkan kaki ke industri dengan galakan ibu bapanya seawal umur 5 tahun dengan menjadi model bagi sebuah jenama fesyen Perancis di United Kingdom.
“The first job that I ever did was I modeled for French clothing when I was 5. Masa tu keluarga saya menetap di United Kingdom dan ada iklan dalam surat khabar untuk mencari model kanak-kanak untuk jenama pakaian tersebut, so I went for casting with my parents and even the casting director said that I got the talent! Jadinya, bermula daripada situ ibu bapa saya mula menggalakkan saya menceburi industri hiburan” ujar Amanda.
Tidak mensia-siakan bakat yang dimilikinya, beliau melebarkan lagi sayapnya dalam industri hiburan di Malaysia dengan membintangi beberapa iklan televisyen. Beliau yang ketika itu masih di bangku sekolah membuat keputusan untuk hanya menerima tawaran iklan televisyen dan filem pendek agar pelajarannya tidak terabai.
“Selepas saya pulang semula ke Malaysia, saya masih ingat lagi iklan pertama saya adalah KFC Raya pada 2014. Tapi memang dulu-dulu saya hanya ambil tawaran untuk iklan dan drama pendek sahaja sebab saya masih bersekolah” kongsi Amanda menceritakan detik awal pembabitannya dalam industri di Malaysia.
Amanda yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, menyimpan hasrat untuk mempunyai rancangan bual bicaranya tersendiri.
“Saya teringin untuk mempunyai rancangan temu bual bicara saya tersendiri seperti rancangan ‘Kelly Clarkson Show’. Other than that, I really love kids! Jadi, saya sentiasa ingin menjadi hos untuk rancangan pendidikan kanak kanak” kata Amanda mengenai impiannya.
Selain daripada bergiat aktif sebagai seorang penghibur, Amanda juga menyahut cabaran untuk membentuk jenamanya sendiri iaitu ‘byamandaamry’ dan berhasrat supaya barang keluarannya dapat membantu beberapa pihak dan komuniti yang terlibat.
“Jenama saya bukan sahaja keluarkan baju tapi kami juga dalam perbincangan untuk mengeluarkan produk kosmetik seperti maskara. Untuk clothing line tu sebenarnya adalah projek amal disebabkan tukang jahit tersebut adalah seorang ibu tunggal dan saya rasa benda ni dapat menolong dia sedikit sebanyak.
“Selain tu, agak susah untuk saya cari baju yang sesuai dengan saya disebabkan size badan saya yang petite dan saya tahu ramai orang di luar sana yang melalui benda yang sama. Jadi saya fikir ianya idea yang baik untuk saya berkongsi dengan orang ramai yang melalui masalah yang sama” kongsi Amanda disebalik kisah mengapa beliau ingin membuka jenamanya sendiri.
Sebelum mengakhiri perbualan, Amanda sempat berkongsi hasratnya untuk melebarkan sayapnya ke persada dunia. Beliau yang baru sahaja menyertai sebuah syarikat muzik akan mengeluarkan single debut pertama dan menyimpan impian untuk karyanya dikenali ke peringkat antarabangsa
“Matlamat utama saya adalah ingin dikenali ke peringkat antarabangsa. I just signed with a label recently and baru habis record my first single which saya berharap dapat sambutan di luar negara juga seperti Indonesia dan Singapura!” ujar Amanda penuh harapan sekaligus mengakhiri perbualan.
Ikuti Amanda Amry di media sosialnya:
Comments