Berasal dari keluarga seni bukanlah satu jalan mudah buat penyanyi, Syada Amzah, 24, untuk menempa nama dalam industri.
Memulakan karier seni seawal usia 10 tahun menerusi program realiti Idola Kecil di TV9, anak bongsu kepada penyanyi popular 80an dan 90an, Datuk ND Lala dan adik kepada Shila Amzah ini terus melakar nama menerusi program terbitan Astro, Big Stage musim kedua.
“Saya kini masih dalam proses untuk menyiapkan single pertama saya. Selain itu, saya terbabit dengan banyak penggambaran untuk kempen komersial selain berterusan menerbitkan kandungan untuk saluran media sosial saya”, ujar Syada ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan terkini beliau dalam dunia seni.
“Tetapi, untuk single pertama ini, saya tidak meletakkan apa-apa expectation. Saya pun mengharapkan peminat dan orang di luar sana pun tidak meletakkan jangkaan yang tinggi kerana saya sendiri pun selama ini masih tercari-cari genre yang sesuai dengan saya. Kini, saya telah menemuinya dan berharap ianya dapat diterima baik semua pihak”, tambah Syada.
Pertama kali beraksi di atas pentas nyanyian ketika berusia 4 tahun, Syada menganggap perjalanan karier sebagai penyanyi adalah suatu proses pembelajaran yang tidak akan tamat. Ia juga merupakan salah satu sebab mengapa beliau mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan single pertama, kerana tidak mahu produk itu dianggap projek “sekadar siap”.
Menyentuh mengenai latar belakang keluarga, Syada turut mengakui ianya memang sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada beliau untuk menyamai pencapaian ayah dan kakaknya.
“Sebelum ini, tekanan itu memang ada. Rasa macam tak mampu nak menyamai pencapaian ayah dan kakak sebelum ini. Namun kini, saya merasakan perkara tersebut bukanlah satu tekanan, sebaliknya sesuatu yang patut saya banggakan. Untuk kekal lama dalam industri sepertimana dapat ayah saya lakukan bukanlah satu perkara mudah, dan pencapaian kakak saya sehingga berjaya di peringkat antarabangsa juga merupakan sesuatu yang luar biasa”.
“Jadi, kini bila tiba giliran saya mencuba nasib dalam industri, kalau orang kata saya dibayangi mereka, saya tidak kisah, macam mana pun, mereka adalah darah daging saya dan kami datang dari acuan yang sama”, kata Syada.
“Ayah saya selalu berpesan, dalam apa jua perkara dalam kehidupan, sentiasa berfikir panjang sebelum membuat apa-apa keputusan dan dapatkan pandangan serta nasihat orang yang lebih berpengalaman supaya kita tidak sesat”, tambah Syada.
Sebagai pendatang baru, Syada menagih para peminat untuk terus memberikannya sokongan kepadanya.
“Kepada Syada Squad, terima kasih atas sokongan anda selama ini, dan saya memohon maaf kerana anda terpaksa menunggu terlalu lama untuk saya keluar dengan lagu sendiri. Sekarang, it's time to shine dan teruskan menyokong saya!”, kata Syada ceria.
Comments