Setiap pasangan yang sudah berkahwin sudah tentu menginginkan cahaya mata sebagai penyeri sesebuah keluarga. Bagi pelakon Asha Merican, beliau bersyukur dikurniakan zuriat selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga. Beliau mengakui terdapat perbezaan yang ketara apabila sudah bergelar seorang isteri dan juga seorang ibu.
“Bila dah ada anak ni memang terasa perbezaan yang ketara. Kalau nak keluar pun saya kena ikut masa baby. Kalau bersiap pun kadang-kadang saya tiada masa untuk makeup sebab terlalu sibuk uruskan anak, tetapi apa yang saya paling suka adalah setiap kali bangun pagi akan nampak muka anak saya!” kongsi Asha mengenai perbezaan kehidupan sehariannya selepas bergelar seorang ibu.
Menjadi impian setiap wanita untuk menjadi seorang ibu yang ideal. Asha juga sempat berkongsi beberapa ciri-ciri seorang ibu yang ingin dicapainya. Oleh itu, Asha membuat pelbagai persedian supaya beliau dapat menjalankan tugasnya sebagai seorang ibu dengan lebih baik.
“Of course saya nak jadi ibu yang baik, tegas, bertanggungjawab dan banyak lagi! Saya memang ada buat beberapa persediaan sebelum bersalin antaranya saya buat research pasal baby contohnya macam cara dukung, cara penjagaan, cara mandi dan lain-lain. Yelah sebab ni my first baby, jadinya saya kena buat lebih banyak persediaan,
“Suami saya pun ada belajar mengenai parenting sebab dia akan tolong saya uruskan hal anak sebab saya dah nak mula berlakon semula” ujar Asha.
Walaupun kehidupan seharian Asha sibuk dengan menjaga dan menguruskan anaknya, beliau akui rindu dengan jadual yang padat sebagai seorang pelakon. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk kembali menjalankan tugas sebagai anak seni selepas sudah mendapatkan rehat secukupnya.
“In Syaa Allah pada bulan hadapan saya akan mula berlakon semula tapi buat masa sekarang, saya akan ambil tawaran lakonan untuk telemovie dahulu disebabkan penggambarannya lebih singkat berbanding dengan drama TV” kata Asha mengenai rancangan kariernya sebagai seorang pelakon.
Bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata pertama pastinya terdapat banyak yang perlu dipelajari. Oleh itu, Asha sempat memberikan beberapa pesanan berdasarkan pengalamannya.
“Tips Asha adalah jangan beli baju baby terlalu banyak sebab mereka cepat membesar. Lagi satu, saya sarankan buat research terlebih dahulu supaya kita lebih bersedia” kongsi Asha sekaligus mengakhiri perbualan.
Ikuti Asha Merican di media sosialnya:
Comments