Sudah menjadi lumrah bagi setiap wanita ingin kelihatan cantik dan berpakaian mengikut trend semasa. Pempengaruh media sosial, Myra Zainal, 21 akui dirinya juga sentiasa mengikuti arah aliran fesyen terkini.
Beliau disukai ramai terutama dari golongan Generasi Z yang berhijab kerana fesyennya yang trendy dan sopan. Myra berkongsi bahawa fesyen dari negara timur tengah seperti Arab Saudi menjadi inspirasi bagi dirinya berpakaian mengikut syariah.
“Selalunya saya akan mix and match sahaja baju dan seluar ikut mood saya pada masa tu, tapi kalau saya tiada idea untuk outfit, selalunya saya akan cari inspirasi di 'Pinterest' sebab dekat situ banyak sangat contoh pakaian yang trendy dan menutup aurat. Most of the time, saya akan look up to fesyen gadis dari negara-negara belah Arab Saudi,” kongsi Myra kepada wanita berhijab yang ingin mencari idea untuk berpakaian sopan.
Mengutamakan keselesaan apabila berfesyen, Myra akui beliau sukar terpengaruh dengan trend fesyen terkini yang bukan citarasa dirinya.
“Saya memang akan pakai pakaian yang saya nak dan suka sahaja, yang penting adalah keselesaan. Kalau macam trend pakaian sekarang ni yang dekat ‘Tiktok’ lebih kepada style ‘hipster’ which is tu bukan citarasa saya. Jadinya, saya memang sukar terpengaruh dengan trend fesyen yang kurang menepati syariah,” ujar beliau.
Myra yang menjaga penampilannya sebagai seorang wanita berhijab bersyukur kariernya tidak menghalang dirinya daripada terus berpakaian sopan dan mengikut syariah. “Sebelum memasuki industri ni pun saya memang dah berhijab. So far, Alhamdulilah my job and career tidak menghalang saya untuk terus memakai tudung, even kalau saya bertudung labuh or pakai baju yang baggy style pun okay,” jawab Myra.
Beliau akui untuk kekal istiqamah dalam berpakaian mengikut syariah bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Namun gadis berusia 21 tahun ini memegang prinsip untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada wanita berhijab supaya sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat.
“Saya mengaku memang susah untuk istiqamah berpakaian mengikut syariah tapi saya selalu mengingati diri sendiri bahawa pakaian yang saya pakai ini adalah pilihan saya sendiri dan bukan untuk mengikut orang lain mahupun trend. Lagipun, saya ada satu prinsip di mana selagi saya ada dalam industri hiburan ni, saya nak kekalkan imej yang baik sebagai seorang wanita berhijab,” ujar Myra.
Sebagai seorang pempengaruh media sosial yang mempunyai jadual padat, ianya tidak menghalang beliau untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Beliau mempunyai jenama tudungnya sendiri iaitu ‘tudong.s’. Bahkan, Myra juga bercita-cita besar untuk mempunyai jenama pakaiannya sendiri pada masa hadapan.
“Saya ada simpan niat untuk bukak my own fashion brand. But for now, saya ada jenama tudung sendiri tapi kecil-kecil sahaja. Insya Allah satu hari nanti mana tahu brand saya ni boleh jadi terkenal seperti brand pakaian ‘Zara’ kan!” ujar Myra sambil tertawa kecil.
“Saya tidak ada specific advice, cuma saya nak nasihatkan kepada gadis-gadis di luar sana yang ingin kekal istiqamah berpakaian sopan ataupun baru nak berjinak-jinak memakai tudung, jangan cepat terpengaruh dengan fesyen yang kurang menepati syariah. Paling penting kita kena ada niat untuk berubah dan sentiasa mendisiplinkan diri,” nasihat Myra kepada wanita-wanita yang ingin berpakaian sopan sekaligus mengakhiri perbualan.
Ikuti Myra Zainal di media sosialnya:
Comentarios