Bicaranya teratur, tutur katanya tersusun, intonasi jelasnya memperlihatkan kematangan pelakon Mia Sara Nasuha yang bakal menginjak usia 17 tahun September ini.
Mula berlakon dan terbabit dengan karier dalam bidang seni semenjak usianya setahun, namanya mula meniti di bibir peminat tempatan selepas membintangi drama Adamaya bersama Lisa Surihani dan Sein Ruffedge ketika usianya baru menginjak 4 tahun.
Kini, selepas berbelas tahun kemudian, nama Mia Sara masih menghiasi kaca televisyen dan layar perak dengan pelbagai peranan dalam drama dan filem yang dibintangi, selain mula membina nama melalui saluran pelantar digital, Youtube.
Sudah meninggalkan bangku persekolahan selepas tamat peperiksaan O-Level yang didudukinya sebelum ini, Mia Sara kini tenang mencorakkan masa depannya.
“Mia kini tengah fokus kerja terlebih dahulu. Nak bagi financial lebih stabil sedikit, mungkin tahun hadapan, Mia merancang untuk sambung belajar dalam diploma, ambil jurusan Masscomm”, katanya tenang.
Ditanya mengenai trend yang tular di laman sosial sebelum ini, dimana sesetengah para pelajar lepasan SPM tanpa segan silu menayangkan keputusan mereka di laman sosial, Mia mengulas, “Trend ini could be a good thing. Untuk mereka yang dapat keputusan cemerlang, mungkin ia boleh menjadi inspirasi kepada murid lain yang bakal menduduki peperiksaan. “
“Tapi yang bangga tayang result walaupun gagal tu, Mia tidak mahu menghakimi mereka, tapi kalau boleh tak payah tunjuklah kegagalan dan kelemahan kita. Sebolehnya, di media sosial ni, kita kongsikan perkara-perkara positif sahaja, yang boleh memberikan motivasi atau sebab yang bagus untuk kita kongsikan. Kalau kita gagal, buat apa nak tunjuk? Apa yang orang lain boleh buat dengan kita?” ujar Mira panjang lebar yang jelas memperlihatkan sisi matang dalam dirinya.
Mengenai masa depan beliau selain lakonan, Mia jelas mempunyai perancangan tersendiri. “Buat masa ni, Mia masih fokus nak berlakon. Adalah buat kerja lain sikit-sikit. Sampai bila nak berlakon? Mia masih belum ada jawapan. Sebab berlakon ni selain dari kerja, ia dah macam hobi Mia. Selagi ada tawaran untuk berlakon, mungkin sampai ke tua pun Mia akan terus berlakon”.
“Tapi Mia ada perancangan lain juga selain berlakon, ia berkaitan bidang seni juga. Cuma Mia masih belum boleh ceritakan lagi. Doakan Mia ya?” tambah Mia sambil tersenyum.
Ikuti Mia Sara Nasuha di laman sosial beliau:
Comments