top of page
Search
Writer's pictureniksyafiq3

Pernah berlatih di China dan Korea Selatan, Elva Suyan mahu dekati pasaran muzik tempatan.


Situasi pandemik yang melanda dunia sebelum ini telah menukar hala tuju karier penyanyi rap, Elva Suyan. Elva yang sebelum ini pernah menjadi pelatih “Girls Group” di China dan Korea Selatan, memutuskan untuk mengembangkan karier di Malaysia.


“Disebabkan pandemik, saya tidak dapat kembali ke China. Oleh itu, saya berasa adalah lebih baik saya fokus untuk mengembangkan karier di Malaysia terlebih dahulu. Di sini, saya mula berkarya dengan menyanyi dan menulis lagu-lagu rap. Saya merasakan muzik rap adalah cara terbaik untuk mengexpresi diri saya,” kongsi Elva.


Elva kini tampil dengan single terbaharu, Kai Fang La yang membawa maksud “Telah Dibuka/It’s Open” yang bersesuaian dengan peralihan ke fasa endemik di negara kita dimana kebanyakan aktiviti telah kembali seperti biasa selain kewajiban untuk memakai topeng pelitup muka yang kini telah dilonggarkan.



“Saya meletakkan harapan besar kepada Kai Fang La. Walaupun ini lagu berbahasa Cina, lirik lagu ini mengandungi beberapa perkataan dari Bahasa Melayu dan Inggeris yang menggambarkan ciri-ciri Malaysia. Saya berharap lagu ini akan mendapat sambutan pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat di negara kita. Kalau boleh, saya berharap ia boleh mencapai 1 juta tontonan, tapi kalau dapat sampai 10 juta, lebih bagus!” kata Elva.


Menyentuh mengenai pasaran pendengar dan peminat muzik Melayu, Elva sentiasa terbuka jika ada pihak yang sudi memberi tawaran atau bekerjasama dengannya.


“Sebenarnya, saya sekarang sedang menjalankan satu projek bersama Caprice. Saya juga meminati muzik rap melayu. Kini saya sedang mempelajari dan memperbaiki Bahasa Melayu saya supaya suatu hari nanti saya boleh menghasilkan lirik lagu rap dalam Bahasa Melayu,” ujar Elva yang turut meminati kumpulan rap underground dari Johor, Force Park Bois.


Ditanya mengenai perancangan jangka panjang selepas Kai Fang La, Elva optimis peminat dan pendengar muzik boleh menjangkakan lebih banyak karya daripadanya.


“Perancangan saya, saya mahu menghasilkan lagu-lagu dalam genre RnB Hiphop. Mungkin juga dark hiphop, dengan lagu-lagu yang ada unsur misteri. Saya juga berharap suatu hari nanti saya boleh kembali ke China, tetapi itu bukanlah keutamaan saya. Saya sudah jatuh cinta dengan pasaran muzik di Malaysia jadi saya gembira untuk terus kekal dan berkarya disini sahaja,” kongsi Elva lagi.


Saksikan muzik video Kai Fang La di Youtube:


370 views0 comments

Comments


bottom of page